GEORGE TOWN, 18 Okt ― DAP akan bertanding tujuh kerusi parlimen di Pulau Pinang, sama seperti pilihan raya umum sebelum ini, kata Chow Kon Yeow.
“Kami akan menyerahkan senarai calon kepada pimpinan pusat parti minggu ini,” katanya dalam sidang media di pejabatnya hari ini.
Beliau berkata jawatankuasa eksekutif pusat DAP akan membuat keputusan muktamad mengenai calon yang akan diletakkan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Pimpinan pusat DAP akan mengumumkan calon untuk semua negeri,” katanya.
Beliau berkata senarai calon DAP akan diumumkan antara dua hingga tiga hari sebelum hari penamaan calon.
Terdapat 13 kerusi parlimen di Pulau Pinang.
DAP kini memegang tujuh kerusi parlimen iaitu Bagan, Batu Mertajam, Batu Kawan, Bukit Bendera, Tanjong, Jelutong dan Bukit Gelugor.
Bagi baki kerusi parlimen di Pulau Pinang, PKR memegang empat manakala Barisan Nasional memegang dua.