RON97 & Diesel Naik 5 Sen Seliter, Harga Runcit RON95 Kekal

RzeeQ
By
RzeeQ
Founder
A founder for RZeeQ NetWork that make contribute to this site as a news editor and content creator. An artist by nature who enjoys video games,...
- Founder
3 Min Read

Tidak dinafikan, isu melibatkan subsidi minyak merupakan antara topik yang sering menjadi tumpuan ramai orang. Mana tidaknya, rata-rata rakyat Malaysia memandu kereta dan menunggang motosikal dalam menjalani urusan seharian.

Apatah lagi sebelum ini dalam Belanjawan 2025 Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ada menyatakan bahawa kerajaan akan melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 dan memotong RM8 bilion subsidi bagi golongan 15% berpendapatan paling tinggi (T15).

Difahamkan, penyasaran itu dijangka bermula pada pertengahan tahun 2025 dengan harga petrol RON96 kekal RM2.05 seliter buat 85% rakyat Malaysia.

Harga RON95 kekal, RON97 dan diesel naik lima sen seliter

Terbaharu, Kementerian Kewangan (MOF) menerusi satu kenyataan pada malam semalam (8 Januari) memaklumkan harga runcit RON95 kekal pada paras RM2.05 seliter manakala RON97 pula meningkat lima sen seliter daripada RM3.28 kepada RM3.33 seliter bagi tempoh 9 hingga 15 Januari.

Menurut MOF, harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal RM2.15 seliter, namun di Semenanjung Malaysia naik sebanyak lima sen seliter daripada RM2.98 kepada RM3.03 seliter untuk tempoh yang sama.

“Seiring peningkatan harga pasaran minyak dunia, kerajaan menetapkan harga runcit petrol RON97 pada RM3.33 seliter manakala harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia pada RM3.03 seliter.

“Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia masih kekal rendah berbanding harga diapungkan pada 10 Jun 2024 iaitu sebanyak RM3.35 seliter,” menurut kenyataan itu.

Harga ditetapkan mengikut formula APM

MOF memaklumkan harga itu ditetapkan berdasarkan harga runcit mingguan produk petroleum menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON97 dan diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga.

“Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.

Minggu lalu, harga RON95 kekal manakala RON97 dan diesel masing-masing meningkat tiga sen seliter bagi tempoh 2 hingga 8 Januari.

Mungkin guna MyKad untuk semak kelayakan terima subsidi petrol

Terdahulu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menjelaskan kaedah mengimbas kad pengenalan mungkin akan digunakan dalam menentukan golongan yang layak menerima subsidi minyak RON95.

Rafizi berkata demikian semasa menyampaikan ucapan penggulungan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada 6 November 2024.

Jelas beliau lagi, penyasaran ini akan beralih dari subsidi jenis pukal kepada subsidi bersasar bagi mengelakkan berlakunya sebarang ketirisan.

- Advertisement -
Share This Article