Di bawah sorotan lampu neon dan sorakan ribuan penyokong, sejarah e-sukan Malaysia tercipta apabila Selangor Red Giants (SRG) berjaya menewaskan juara dunia, Falcons AP.Bren dalam final dramatik Mobile Legends: Bang Bang Mid-Season Cup 2024 (MSC 2024) di Riyadh.
Ini adalah kisah kebangkitan mereka dari kelab bola sepak tempatan kepada juara dunia MLBB, satu perjalanan yang penuh dengan cabaran dan kejayaan luar biasa.
Selangor Red Giants (SRG)
Segalanya bermula apabila Selangor FC memutuskan untuk melangkah lebih jauh dalam dunia e-sukan dengan menubuhkan pasukan Mobile Legends sendiri.
Mereka menjadi kelab bola sepak pertama di Malaysia dan kedua di dunia selepas PSG yang mempunyai pasukan MLBB. Dengan nama Yoodo Red Giants, mereka bersedia untuk menyertai Mobile Legends Professional League (MPL) Malaysia pada awal Februari 2023.
Yoodo Red Giants dibentuk dari pasukan El Loco Xtreme (ELX) yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam pelbagai kejohanan semi-pro.
Dengan pemain berbakat seperti Eshaa Ohana, Sekys, Zakqt, Syf, Gojes, dan Kaizer Kim, mereka mula berlatih secara intensif sejak Disember 2022.
Simon Lim, Ketua eSukan Selangor FC menyatakan bahawa kolaborasi dengan Selangor FC memberi peluang kepada pasukan untuk mengakses fasiliti dan tenaga pakar termasuk latihan fizikal, pemakanan sukan dan jurulatih mental.
Musim 12 MPL MY pada tahun 2023 menyaksikan Yoodo Red Giants membuat kemajuan luar biasa. Dengan bantuan tiga import dari Filipina, termasuk jurulatih utama Arcadia, serta pemain seperti Pancake dan Super Red, mereka berjaya menduduki tempat ketiga dalam liga.
Pemain seperti Super Nova memainkan peranan penting dalam situasi genting membawa pasukan ke peringkat playoff dengan semangat juang yang tinggi.
Pada awal tahun 2024, SRG menerima suntikan semangat dengan kemasukan tiga pemain baru hasil scouting jurulatih SRG, Arcadia.
Dua orang pemain Filipina, John Vincent Banal “Innocent” mengisi posisi ‘Gold Laner’. Mark Genzon Rusiana “Kramm” sebagai ‘EXP Laner’ dan pemain tempatan, Hazziq Danish “Stormie” sebagai ‘Mid Laner’.
Mereka dipilih melalui proses ujian yang ketat oleh jurulatih Arcadia dan OzoraVeki. Kehadiran mereka tidak hanya menambah kekuatan tetapi juga mencipta persaingan sihat dalam pasukan yang diharapkan dapat membawa perubahan positif dalam musim ini.
Antara tunjang utama SRG ialah Sekyss atau nama sebenarnya Haqqullah Ahmad Shahrul. Sekys yang mula menceburi arena kompetitif sejak umur 14 tahun dan kini menjadi salah satu jungler terbaik dalam MPL MY.
Pada musim ke-13 MPL MY, Selangor Red Giants mengukir nama mereka sebagai juara dengan menewaskan juara HomeBois bertahan dalam final yang epik.
Dalam siri perlawanan yang penuh tegang, mereka berjaya mengatasi HomeBois 4-2 dengan hanya mengalami tiga kekalahan sepanjang playoff.
Strategi berani dan penggunaan hero yang luar biasa memastikan kemenangan mereka seterusnya melayakkan mereka ke MSC 2024.
Pertempuran akhir MSC 2024 di Riyadh menjadi medan ujian sebenar. Kedua-dua pasukan, SRG dan Falcons AP.Bren memasuki final tanpa sebarang kekalahan sepanjang kejohanan walaupun SRG baru pertama kali menjejakkan kaki di kejohanan ini.
Perlawanan pertama menyaksikan Falcons meraih kemenangan, namun SRG bangkit dengan strategi dan disiplin yang lebih baik untuk menyamakan kedudukan.
Keadaan terus mendebarkan dengan pertukaran kemenangan antara kedua-dua pasukan sehingga pusingan ketujuh yang menjadi penentuan.
Di pusingan penentuan, SRG menggunakan strategi crowd control dengan Ruby, Alpha dan Minotaur untuk menundukkan Falcons AP.Bren. SRG lebih kepada bermain dengan “Counter Drafting Hero” berbanding menggunakan META popular sekarang.
Serangan cemerlang yang dimulakan oleh Yums dengan tiga serangan ke atas musuh memastikan kemenangan penuh untuk SRG.
Dengan kemenangan ini, Selangor Red Giants tidak hanya memenangi gelaran juara dunia, tetapi juga membawa pulang hadiah lumayan bernilai $1,000,000 (RM4.67 Juta)
Sekys turut dinobatkan sebagai pemain paling bernilai dalam kejohanan tersebut. Pemain berusia 18 tahun itu benar-benar memperlihatkan prestasi cemerlang di kejohanan ini.
Mereka juga masih memegang rekod 107 hari tanpa kalah sejak MPL MY S13, sekali gus menjadi pasukan yang konsisten dari awal MPL sehinggalah ke MSC 2024.
Perjalanan Selangor Red Giants dari pasukan bola sepak tempatan ke juara dunia MLBB adalah bukti bahawa dengan strategi yang tepat, latihan intensif dan semangat juang yang tinggi, apa sahaja boleh dicapai.
Kejayaan mereka di MSC 2024 bukan sahaja mengharumkan nama Selangor, tetapi juga Malaysia di arena e-sukan antarabangsa.