KUALA LUMPUR, 4 Dis — Pasangan pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof, dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen di sini esok.
Pertuduhan itu dipercayai berkaitan kerugian pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet, berjumlah RM43.9 juta.
Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mengesahkan tindakan mahkamah terhadap kedua-dua mereka, beberapa akhbar tempatan termasuk Berita Harian dan Harian Metro melaporkan malam tadi, selepas pasangan itu ditahan tengah hari tetapi dibebaskan dengan jaminan awal semalam.
SPRM mengumumkan selesai siasatan terhadap kerugian pelaburan itu pada 28 November, berikutan penyerahannya kepada peguam kerajaan untuk semakan dan pertimbangan.
SPRM sebelum ini berkata pihaknya mengesan beberapa transaksi mencurigakan dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan dalam syarikat e-dagang itu.
Urus niaga yang mencurigakan ini dikesan dari 2018 hingga tahun lepas.